Blog tentang Senator Kennedy- Najib

by : Suzana Sukaimi

"Amerika telah kehilangan seorang negarawan ulung minggu ini apabila Senator Ted Kennedy meninggal dunia. Ketika berita-berita mencurah-curah masuk daripada media antarabangsa sejak beberapa hari yang lalu, saya terpegun dengan apa yang dapat dipelajari daripada kehidupan tokoh ini. Saya berpeluang menemui Kennedy tidak berapa lama dahulu. Saya cukup ingat betapa mesra dan peramahnya mendiang terhadap saya. Saya amat menghargai layanan mendiang ketika itu supaya saya dapat memahami Senat semasa mendiang membawa saya berjalan-jalan di kawasan sekitar. Pandangan saya terhadapnya terbukti betul. Jelas sekali bahawa lelaki yang beradab tinggi, sopan dan terhormat ini mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap politik dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Mendiang mahu semua orang mempunyai kehidupan yang lebih baik. Pemergiannya merupakan kehilangan yang amat besar kepada rakyat Amerika terutamanya ahli keluarga dan kalangan sahabat handai mendiang. Namun kita harus melihat apa yang ditinggalkan oleh mendiang akan menjadi inspirasi kepada kita untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang.Setelah hampir lima dekad berkhidmat di Senat Amerika Syarikat, Kennedy menjadi salah seorang ahli politik Amerika yang paling penting dan berpengaruh. Mendiang mempunyai kesabaran untuk mendengar pelbagai pandangan, membina kesepakatan merentasi banyak kepentingan politik yang berbeza-beza, dan menggubal undang-undang yang masuk akal kepada rakyat Amerika. Sebahagian daripada isu-isu ini bukannya mudah bagi sesebuah negara untuk mencari jalan penyelesaian, namun seperti mana yang diperlihatkan dalam kehidupan Senator Kennedy, kadang-kala kita perlu menerima cabaran kerja-kerja yang mustahil untuk dilaksanakan jika kita perlu mengubah diri kita sebagai satu bangsa.Mengingati Senator Kennedy dan prinsip yang dipegangnya telah memperbaharui pemikiran saya sendiri tentang idealisme bahawa dengan bersatu kita boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk generasi mendatang. Menjelang ulang tahun kemerdekaan kita, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran negara sungguh pun begitu kita terus mara dengan satu hala tuju baharu untuk negara kita. Kita semua hendaklah menerima takdir kita dan bertanggungjawab bahawa kita mempunyai kepentingan terhadap masa hadapan negara. Kita mesti menerima rasa tanggungjawab peribadi dan komitmen sebenar ini untuk mencorakkan Malaysia supaya menjadi lebih cemerlang"

No comments:

Post a Comment