Selesaikan isu kuil dengan berhemah

by: Suhaila Kamal
SHAH ALAM Sept 9 - Para pemimpin dan ahli politik dari pelbagai parti mengharapkan agar isu kuil yang membabitkan penduduk di seluruh negeri Selangor dapat diselesaikan dengan cara berhemah dan tenang. Isu pembinaan kuil di negeri ini pernah menjadi isu panas semasa Barisan Nasional yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Muhd Khir Toyo memerintah dahulu dan kini mula berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketiadaan undang-undang yang tegas, kurang kefahaman antara penganut dan lokasi pembinaan yang dipertikai serta tidak terkawal sentiasa menjadi dilema kepada sesiapa yang memimpin kerajaan negeri ini. Ahli Jawatan kuasa Umno Bahagian Kuala Selangor, Jamin Bero mencadangkan kepada kerajaan Pusat dan negeri supaya mempunyai badan khas yang mengkaji pembinaan kuil kepada penganut Hindu dan Tokong kepada penganut Buddha yang mengambil pendekatan dari pelbagai sudut. “Kajian perlu menyeluruh yang membabitkan penempatan lokasi, kepentingan kaum dan kefahaman Agama sehingga tidak membabitkan kepada sentimen kepada Agama dan perkauman sempit,” katanya. Beliau berkata, perancangan perlu dilakukan dengan segera yang berasaskan juga kepada undang-undang dan penguatkuasaan selepas mengambilkira pandangan dari pelbagai pihak setempat. “Kita perlu melihat jumlah komposisi penduduk yang membabitkan antara orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Jamin menambah, dalam sesuatu kes pembinaan kuil dilakukan secara tidak terancang sehingga memberi impak kepada masyarakat setempat yang bukan dari agama mereka.
Tanpa menyakiti mana-mana pihak, Jamin memberikan contoh yang berlaku di sebuah kawasan dengan komposisi penduduk 50-50 antara Islam dan bukan Islam.
“Bayangkan sepanjang tiga kilometer terdapat sebuah masjid dan tiga surau tetapi ada enam kuil di tepi jalan.
“Kita berharap semua pihak bersikap tenang dan dingin dengan masalah pembinaan kuil ini kerana masing-masing mempunyai tanggung jawab sebagai warga negara yang dihormati,” katanya. Yang Dipertua PAS kawasan Klang, Haji Ismail Arsat turut setuju agar pembinaan kawasan ibadah mempunyai perancangan dan peraturan yang akan dipatuhi oleh semua pihak.
“Kita akui masalah ini turut berlaku di Klang dan kerajaan negeri sekarang perlu mengujudkan satu bentuk perancangan dan peraturan tanpa menyinggung mana-mana pihak,” katanya.
Menurut beliau, sebagai umat Islam sudah ada peraturan dalam pembinaan masjid dan surau di negeri ini dan ia perlu diluaskan kepada penganut agama lain.
“Undang-undang perlu digubal yang membabitkan kuasa tanah, majlis perbandaran dan kumpulan yang memantau segala kawasan tempat ibadah,” katanya.Katanya lagi, beliau turut berharap isu kuil dan sebagainya dapat diselesaikan secara berhemah dan berhati-hati dengan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Seorang ahli MIC Tanjung Karang, Uttama Vellu turut meminta pelbagai pihak supaya tidak emosi dan dapat menyelesaikan pelbagai isu dengan perasaan yang tenang. “Teras kekuatan negara dan negeri adalah bergantung kepada perpaduan antara kaum. Biarlah sebarang isu dapat diselesaikan dengan tenang, tidak emosi dan berhati-hati,” katanya

No comments:

Post a Comment