KEPENTINGAN JALUR LEBAR

by : Nurul Asyikin Tajudin
Artikel ini telah disimpulkan hasil daripada wawancara wartawan Mingguan Malaysia bersama Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor pada 18 Mei 2008. Beliau ditemu bual bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang kepentingan pelaburan dalam bidang jalur lebar tersebut kepada rakyat dan negara.

Pada tahun 2008, kerajaan sekali lagi mengumumkan perancangan terbaru dalam projek berteknologi tinggi iaitu meningkatkan rangkaian jalur lebar di seluruh negara untuk tempoh 10 tahun. Mengapa kerajaan memberi tumpuan kepada projek berteknologi tinggi? Adakah kita sudah bersedia untuk menjadikan prasarana teknologi tinggi ini sebagai tarikan kepada pelabur untuk melabur di negara ini?

Menurut Datuk Shaziman, dunia telah berubah dan jalur lebar telah menjadi sebahagian daripada keperluan asas masa kini, tidak seperti dahulu hanya bekalan air, elektrik dan jalan raya. Rangkaian Internet akan mempunyai kelajuan tinggi apabila mempunyai rangkaian jalur lebar yang secara asasnya bermula dengan kelajuan 384 kilobit sesaat (kbps). Apabila kita mempunyai kelajuan akses Internet sedemikian rupa, ia akan memberi faedah besar dan mengubah cara hidup masyarakat di negara ini sama ada golongan profesional, masyarakat desa seperti petani dan juga para pelajar. Dengan adanya jalur lebar, masyarakat profesional misalnya boleh bekerja dari rumah. Ada rakyat negara ini yang pejabat mereka di Hong Kong tetapi mereka beroperasi dari rumah di negara ini.

Manakala bagi golongan para pelajar, mereka boleh mendapat perkhidmatan pelajaran melalui persidangan video dan sebagainya. Bagi masyarakat petani, kita harapkan mereka akan boleh menyemak harga komuniti mereka melalui Internet di masa depan.

Dengan adanya pelan jalur lebar ini, gaya hidup masyarakat kita sememangnya boleh berubah.
Bagi pesakit misalnya, mereka juga boleh menggunakan aplikasi teleperubatan yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital di negara ini sama ada mendapatkan nasihat pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

Menjawab soalan wartawan mengenai Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang diperkenalkan untuk membangunkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar Bandar, Datuk Shaziman menjelaskan kementerian kini dalam peringkat akhir untuk meminda peraturan berkaitan dana ini untuk membolehkan ia digunakan untuk melaksanakan jalur lebar di pedalaman. Ia kerana sebelum ini, dana itu hanya boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan telekomunikasi asas di luar bandar. Ini akan merapatkan kembali jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar.Dalam Pelan Jalur Lebar Negara sebelum ini, kerajaan telah meletakkan sasaran penembusan sebanyak 50 peratus menjelang 2008 dan 75 peratus menjelang 2010. Tetapi kerajaan telah mengubah sasaran itu kepada hanya 50 peratus menjelang 2010.

Rakyat perlu faham mengapa perkhidmatan jalur lebar itu tidak mencapai kualiti atau standard yang kini ingini. Ini kerana kebanyakan talian yang kita gunakan merupakan rangkaian wayar tembaga yang asalnya di reka untuk penghantaran suara dan tidak untuk penghantaran data.
“Sebab itu, dengan pelan jalur lebar yang baru ini kita akan berusaha menyediakan rangkaian fiber optik sehampir yang boleh kepada port di sesuatu kawasan perumahan supaya rangkaian wayar tembaga tadi itu akan menjadi lebih pendek.” Datuk Shaziman juga disoal mengenai aplikasi penggunaan talian elektrik dan wayerles Wimax untuk mengakses internet. Beliau menjelaskan bahawa Malaysia antara negara yang di hadapan dari segi penggunaan WiMax.

“Sehingga ini, kita telah menggunakan teknologi WiMax 2.3 Gigaherz (GHz) dan sesetengah daripada peralatan pengguna biasa untuk teknologi ini masih belum diiktiraf sepenuhnya kerana kita di hadapan. Manakala, cadangan penggunaan talian elektrik, kerajaan masih mengkaji mengenai perkara ini dan Suruhanjaya Tenaga sedang mengkaji untukmengubah sedikit peraturan sedia ada untuk membolehkan talian elektrik turut digunakan bagi tujuan transmisi data.”

No comments:

Post a Comment